Selasa, 27 Disember 2022

LAMAN UTAMA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Blog ini merupakan satu inisiatif oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris daripada kumpulan B kursus BML3123 Analisis Wacana Bahasa Melayu. Tujuan pembinaan blog ini adalah bagi memenuhi kehendak tugasan kursus ini. Blog ini akan menjelaskan secara ringkas mengenai wacana Bahasa Melayu.

Kami amat mengalukan sebarang cadangan atau komen di laman komen. Tinggalkan komen anda di bawah agar kami dapat menambahbaik konteks yang kami ketengahkan.

KONSEP WACANA

Perkataan wacana berasal daripada kosa kata Jawa, iaitu wocono. Wocono merupakan perkataan daripada woco yang bermaksud baca. Manakala bagi bahasa Inggeris, istilah wacana merupakan padanan dengan istilah discourse dan discours dalam bahasa Perancis yang bermaksud “larian ke dan lari” (dari satu ke satu klimaks seperti plot cerita) serta dalam bahasa Arab dipanggil al-makalah. Takrifan wacana mempunyai banyak pengertiannya yang telah diberikan oleh beberapa ahli dalam bidang wacana iaitu:

·       Crystal (1992) mendefinisikan wacana sebagai regangan bahasa yang berkesinambungan terutama dalam bahasa lisan yang lebih besar daripada ayat dan lazimnya akan membentuk satu unit yang berkesatuan seperti hujah atau cerita.

·       Salkie (1995) mendefinisikan wacana sebagai regangan bahasa yang mungkin lebih daripada satu ayat.

·       Johnstone (2002) mendefinisikan wacana sebagai contoh-contoh sebenar komunikasi dalam wadah bahasa.

·       Asmah Haji Omar (1980) mendefinisikan wacana sebagai unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, siri buku yang akan memperlihatkan kesatuan dan hubungan antara butir-butir fikiran serta perkembangan akaliah yang terdapat di dalamnya.

Umumnya, wacana merupakan satu satuan bahasa yang lengkap dan benar-benar digunakan untuk komunikasi dan mempunyai maksudnya. Konsep wacana melibatkan dua aspek yang penting iaitu proses dan kognitif. Proses wacana melibatkan kognitif iaitu akal fikiran seseorang individu itu semasa menghasilkan sesuatu wacana. Proses kognitif ini berlaku melalui otak yang akan menghasilkan maklumat dan akan dianalisis untuk dihasilkan dalam bentuk lisan iaitu melalui percakapan ataupun secara teks iaitu tulisan.


Tatatingkat unit tatabahasa Melayu



Wacana

Satuan bahasa yang paling lengkap, terbesar dan tertinggi dengan koheren dan kohesi yang berkesinambungan serta mempunyai permulaan dan pengakhiran yang nyata dan boleh disampaikan secara lisan atau tulisan. Bahan wacana akan ditandai dengan penanda wacana.

Ayat

Unit pengucapan yang paling tinggi dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.

Klausa

Unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat serta menjadi konstituen (unsur) ayat.

Frasa

Unit yang terdiri daripada satu susunan yang sekurang-kurangnya mengandungi satu atau dua perkaatan yang berpotensi untuk diperluaskan.

Kata

Bentuk bebas terkecil yang mempunyai makna yang lengkap dan dapat berdiri sendiri dalam ayat.

Morfem

Unit terkecil dalam bahasa yang membawa makna atau tugas tatabahasa

Fonem

Unit yang terkecil dalam tatabahasa dan dapat dipisahkan daripada rangkaian bunyi.

 

Rujukan:

Arif Bahasa. (2012). Tatatingkat unit bahasa. Diperoleh daripada http://arifbahasamelayu.blogspot.com/2012/07/tatatingkat-unit-bahasa.html

Idris Aman. (2010). Analisis wacana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

TEORI DAN MODEL WACANA

 Model Tautan Pindaan Sanat Md. Nasir

Model ini menggunakan “pindaan” iaitu merupakan maksud asal pada model Halliday dan Hasan (1976), yang kemudiannya telah mengalami penyusunan semula, tambahan dan penekanan dalam beberapa aspek tertentu dalam kajian tautan aliran sistematik. Sanat Md. Nasir (2002) membahagikan tautan kepada tiga jenis utama iaitu tautan perulangan, tautan kolokasi dan tautan penghubung ayat.

       i.          Tautan Perulangan: Merujuk kepada berlakunya perulangan dalam unsur linguistik iaitu dari segi ciri dan maknanya yang berulang-ulang dalam sesuatu teks.

     ii.      Tautan Kolokasi: Merujuk kepada tautan yang tidak melibatkan unsur linguistik berulang dari segi bentuk dan maknanya. Tautan ini melihat dari segi konteks keberadaannya unsur linguistik itu dengan yang lain dalam unit teks.

   iii.          Tautan Penghubung Ayat: Tautan ini akan menghubungkan antara unsur linguistik iaitu teks sebelum dengan selepasnya.

Ketiga-tiga jenis tautan utama ini pula mempunyai beberapa jenis tautan di dalamnya iaitu seperti di bawah:

TAUTAN PERULANGAN

Tautan

Contoh Ayat

Tautan perulangan rujukan: Merupakan unsur yang berhubungan dikaitkan kerana adanya makna rujukan walaupun bentuk kata atau frasa itu tidak sama.

Kami sedar banyak kekurangan yang telah kami lakukan dalam kumpulan ini. Namun, kami akan cuba perbaikinya.

Tautan perulangan penggantian: Unsur yang menggantikan tautan dalam elemen tatabahasa iaitu menggantikannya tautan yang mempunyai persamaan makna.

Dia sudah kembali ke kampung halamannya semula setelah hampir 5 tahun duduk di bandar. Namun tubuh beliau kelihatan susut dan lemah.

Tautan perulangan elipsis: Merupakan tautan yang sama dengan perulangan penggantian dan lebih dipanggil dengan “penggantian kosong”. Tautan jenis ini akan menggugurkan unsur yang boleh diinterpretasikan berdasarkan usnur yang mendahuluinya.

Adik: “Saya ingin menjadi seorang peguam pada suatu hari nanti”.

Ibu: Kejarlah dengan usaha mu dalam belajar”.

 

Tautan perulangan leksikal: Merupakan bentuk yang diulang itu mempunyai makna yang sinonim ataupun umum namun masih memberi makna yang sama.

Aini amat minat pada penyanyi lelaki yang bersuara nyaring itu. Oleh sebab itu, beliau gemar sekali menghadiri konsert penyanyi itu walaupun serata dunia.

Tautan perulangan prafrasa: Merupakan perulangan makna yang sama daripada frasa sehinggalah ayat. Tetapi ia berbeza dari segi bentuk susunannya yang bertaut.

“Kedai itu memiliki ramai pekerja kerana mempunyai pelbagai jenis barang dan kedainya yang agak besar”.

“Disebabkan itulah kedai itu menerima kehadiran banyak pelanggan dalam masa satu hari”.

Tautan perulangan paralelisme: Merupakan perulangan dalam bentuk susunan yang sama tetapi mempunyai makna yang berbeza.

Duit bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan duit.

Tautan perulangan struktur dan makna sama: Merupakan perulangan yang saling bertaut dan menghasilkan ayat dalam aspek paralelisme dan parafrasa. 

Di mana letaknya cinta! Di mana letaknya bahagia! Di mana letaknya kesetiaan! Jika diri itu tidak jujur dalam perhubungan.

 

TAUTAN KOLOKASI

Tautan

Contoh Ayat

Tautan kolokasi antoniman: Merupakan tautan yang mempunyai makna hubungan yang berlawanan.

Baik buruk diri itu sebagai cerminan sifat diri pada masa akan datang.

Tautan kolokasi kohiponiman: Merupakan tautan yang mempunyai hubungan makna pada peringkat superordinat antara hiponim ataupun meronim iaitu dalam proses mewujudkan unsur linguistik daripada peringkat rendah kepada peringkat ayat.

Ibu membeli periuk, sudip, dan kuali baharu untuk digunakan bagi memasak pada bulan puasa kelak.

(Perkakas dapur)

Tautan kolokasi hasil: Merupakan tautan yang mempunyai makna untuk menghasilkan unsur yang lain. (Sebab kepada akibat)

Janganlah menghisap rokok kerana ia akan membahayakan paru-paru kita.

Tautan Kolokasi sifat: Merupakan hubungan makna dengan unsur tautan yang menjadi punca sifat dengan unsur sifat itu.

Aiman sangat menghormati dan mendahului ibunya dalam pelbagai urusan, dengan pastinya dia akan mendapat syurga di akhirat kelak.

 

TAUTAN PENGHUBUNG AYAT

Tautan

Contoh Ayat

Tautan penghubung ayat tambahan: Merupakan tautan yang menghubungkan ayat dengan menambah usnur sebelum dengan unsur selepasnya bagi memberi maklumat tambahan ataupun penegas.

Aisyah menghadapi kesukaran dalam kehidupannya setelah ibunya meninggal dunia. Lebih-lebih lagi setelah rumah pusaka milik arwah ibunya juga telah dirampas oleh orang lain yang menyebabkan beliau kehilangan tempat tinggal.

Tautan penghubung ayat yang bertentangan: Merupakan tautan yang menghubungkan unsur sebelum dan selepas dengan membawa makna yang bertentangan.

Siti amat gembira dengan kehadiran adiknya dari Kuala Lumpur, tetapi beliau masih lagi sedih dengan kematian suaminya.

Tautan penghubung ayat yang musabab: Merupakan tautan yang menghubungkan unsur sebelum dan selepas dengan makna alasan, akibat, tujuan yang ditunjukkan melalui penghubung ayat.

Hanim menderita kanser paru-paru akibat daripada pengambilan rokok yang berlebihan pada usia mudanya.

Tautan penghubung ayat waktu: Merupakan tautan yang menghubungkan makna antara unsur sebelum dan selepas dan menunjukkan makna urutan, sertaan, kesimpulan dan lampauan.

Airis kembali ke pejabatnya semula setelah 5 hari mengambil cuti sakit akibat demam.

Tautan penghubung ayat terusan: Merupakan penghubung ayat yang tidak memuatkan keempat-empat jenis penghubung ayat yang lain kerana ia mempunyai makna terusan iaitu memulakan isi baharu dalam teks.

Hari pertama Nurul bekerja di sektor awam itu amatlah membosankan kerana tidak mempunyai kawan untuk menemaninya.

 

Model Fairclough

Model Fairclough telah dilakukan oleh Norman Fairclough pada tahun 1992 dengan menyatakan fokus utama dalam Analisis Wacana Kritis itu adalah untuk menunjukkan hubungan antara penggunaan bahasa dengan hubungan kuasa yang tidak sama rata dalam masyarakat. Analisis wacana kritis Norman Fairclough ini memfokuskan dua unsur utama iaitu tautan dan runtutan.

i.          Tautan: Keserasian hubungan satu unsur linguistik dengan yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap.

ii.          Runtutan: Gambaran konsep dan hubungan yang menjadi latar utama sesuatu teks itu.

Berdasarkan model Norman Fairclough, konsep tetenunan itu berada dalam unsur yang kedua iaitu tautan. Tetenunan mempunyai peranannya dalam menilai dan mewujudkan ketekstualan teks bagi memastikan teks itu dapat diiktiraf sebagai wacana. Tetenunan mengikut Fairclough terbahagi kepada dua iaitu tetenunan nahuan dan tetenunan leksikal. Tetenunan nahuan merupakan unsur dalam linguistik yang berbeza antara satu sama lain bagi mengungkapkan makna yang lebih bersifat umum. Tetenunan nahuan ini terbahagi kepada dua iaitu penggantian dan pelenyapan. Tetenunan leksikal pula merupakan alat pembina pautan yang penting dalam sesuatu wacana terutama dalam menyampaikan maklumat ataupun idea dalam sesuatu wacana serta berfokuskan untuk menganalisis makna dalam linguistik itu secara lebih khusus.


Tetenunan Nahuan

Penggantian: Pengambilan ataupun pertukaran tempat yang boleh berlaku dalam kata, frasa ataupun klausa. Penggantian ini juga tidak akan mengelirukan pembaca untuk memahaminya kerana penggantian kata ataupun klausa itu akan merujuk kepada perkataan asal. Fungsinya adalah bagi memastikan ayat ataupun frasa yang dibina itu lebih gramatis di samping masih mampu difahami oleh pembaca.

A1: “Di satu meja pelajar, kelihatan Kemboja sedang leka menulis sesuatu pada buku nota kesayangannya”.

 

A2: “Dia tenggelam dalam dunianya sendiri”.

Pelenyapan: Suatu proses menggugurkan kata ataupun sebahagian daripada sesuatu ayat itu dan ia akan dipersembahkan dalam ayat yang seterusnya bagi menyampaikan makna sebenar bagi ayat itu. Proses pelenyapan dalam ayat ini juga tidak mengganggu sesuatu ayat itu sebaliknya memastikan ayat itu lebih mudah difahami dan dapat dirasai oleh pembaca.

A1: “Serentak itu juga, Wahyudi dapat mendengar bunyi kibasan sayap-sayap merpati yang menderu”.

 

A2: “Daripada bunyi itu, Wahyudi tahu jarak mereka tidak jauh”.

 

Tetenunan Leksikal

Penggunaan kata sekelompok (Kolokasi: Kata berkaitan): Tetenunan jenis kolokasi ini dapat dikenal pasti apabila perkataan semantik dalam item-item leksikal hadir bersama dan mempunyai rujukan makna yang sama berkaitan sesuatu perkara itu.

“Bimbang, cemas, takut, risau semuanya berbaur menjadi satu”.

Penggunaan kata sekelompok (kolokasi: Kata yang berlawanan): Kolokasi jenis ini merupakan sekelompok perkataan yang membawa kepada makna yang berlawanan dalam membentuk ayat jenis (antonim).

“Senyuman yang tadinya melebar kini mula hilang dalam suatu kekecewaan tidak dapat disembunyikan”.

 

Model Sato Hirobumi

Model Sato Hirobumi merupakan model yang dicipta oleh Rahmat Abdullah, seorang ahli bahasa yang telah giat dalam menganalisis bidang wacana. Model ini mempunyai dua elemen yang utama iaitu, runtutan dan maklumat lama dan maklumat baru.

i.          Runtutan: Keterikatan unsur-unsur dunia teks, terutama gagasan iaitu jalinan hubungan yang mengetengahkan hal dan isi teks supaya dapat difahami secara relevan. Menurut Leman (2002), koheren dapat dipertahankan dengan adanya beberapa aturan seperti berikut:

·       Aturan Pengulangan

·       Aturan Perkembangan

·       Aturan Hubungan

·       Aturan Tidak bercanggah

ii.          Maklumat lama dan maklumat baharu

Maklumat lama: Maklumat sedia ada yang terdapat dalam diri penerima mesej ataupun maklumat yang dijangka sudah diketahui oleh pendengar. Terdapat tujuh penanda kepada maklumat baharu iaitu

·       Kaedah perujukan: Merujuk hal yang secara langsung dirujuk melalui teks dan dikenal pasti melalui penggunaan kata ganti nama.

·       Kaedah perulangan seluruh: Perulangan yang berlaku pada unsur-unsur dalam wacana tanpa menimbulkan sebarang perubahan pada kategorinya.

·       Kaedah perulangan sebahagian: Perubahan kategori yang berlaku pada rangkai kata yang mengulang.

·       Kaedah penggantian: Sesuatu unsur yang disebut, kemudian digantikan dalam bentuk baharu secara semantik ataupun nahuan.

·       Kaedah leksikal: Pertalian antara ayat secara semantik.

·       Kaedah penghilangan

·       Kaedah parafrasa: Perulangan dalam bentuk lain.

Maklumat baru: Maklumat yang dapat dikenali dengan penggunaan tanda tinggi serta adanya penggunaan penanda oleh penutur. Terdapat empat penanda kepada maklumat lama iaitu,

·       Maklumat baru tambahan: Maklumat baru yang ditambah berdasarkan maklumat lama yang muncul di titik permulaan perbicaraan ayat.

·       Maklumat baru kontrastif: Dua atau lebih klausa berbeza dari segi semantik.

·       Maklumat baru pemberitaan neutral: Susunan maklumat yang tidak mengandungi sebarang maklumat lama yang disediakan dalam praanggapan.

·       Maklumat baru fokus: Susunan maklumat yang melibatkan fokus pembezanya (MB) yang menduduki tema (judul).


Teori Halliday

Halliday (1994) dalam teorinya memfokuskan kepada metafungsi bahasa yang terbahagi kepada tiga, iaitu tema ideasional, tema interpersonal dan tema tekstual. Ketiga-tiga fungsi ini boleh menyampaikan maksud serentak dalam unit bahasa seperti ayat, perenggan dan teks.

       i.          Tema Ideasional: Elemen pertama dalam klausa yang mengerpresentasikan pengalaman dunia sekeliling dan yang berlaku dalam diri. Tema ideasional berperanan dalam mempersembahkan pengalaman pewacana terhadap dunia sebagai suatu realiti. Tema idea mempunyai tiga subentri iaitu:

Tema Ideasional proses (process): Merupakan tema yang bertemakan proses dalam sesuatu perkara.

Singgahlah ke rumah kami.

Tema ideasional pelaku (participant): Merupakan tema yang memfokuskan berkaitan dengan pelaku.

Alif bekerja di Kuala Lumpur.

Tema ideasional keadaan (circumstance): Merupakan tema yang menghuraikan tentang sesuatu keadaan.

Pada tahun 2022, negara Malaysia telah mendapat Perdana Menteri yang kesepuluh.

 

     ii.          Tema Interpersonal: Melibatkan interaksi pewacana dan pembaca. Tema interpersonal juga mempunyai kategorinya yang tersendiri iaitu kata tanya, kata tanya bantu, vokatif, keterangan penegas dan kata perintah. Kelima-lima kategori ini mempunyai fungsinya yang tersdiri di samping bersandarkan unsur perasaan dan diselitkan pula dengan unsur dialog yang boleh berubah mengikut keadaan iaitu pengisian teks itu.

Kata tanya: Kata tanya ini disebut sebagai pertanyaan alternatif yang memerlukan ia dijawab dalam sesuatu teks itu.

“Kalau kita selalu solat dan berdoa, ayah akan pulang? Kita akan jumpa ayah?”.

Kata tanya bantu: Kata tanya bantu masih lagi bermatlamatkan pertanyaan alternatif, namun ia melibatkan proses pengguguran subjek dalam teks pertanyaan itu. Menurut Alireza (2010), penggunaan kata tanya ini memerlukan pembaca itu untuk membayangkan jawapan bagi persoalan yang dikemukakan.

“Jumpa di mana?”.

Vokatif: Sesuatu teks yang diaplikasi dengan mengidentifikasikan benda atau nama orang yang ingin dituju itu sebagai pembaca pada awal klausa.

“Fir masih terlalu mentah untuk mengerti. Tapi Fir percayalah, apa yang ibu lakukan adalah untuk kebaikan Fir juga,”.

Keterangan penegas: Keterangan penegas berfokuskan untuk memberi keterangan, penyataan atau gambaran komen penulis dalam sesuatu teks itu

“Abah Firdaus telah pergi … Abah Firdaus telah pergi.”.

Kata perintah: Kita perintah merupakan arahan dalam sesuatu teks itu yang berfungsi untuk menunjukkan interaksi antara penulis dengan pembaca.

“Fir, sudah hampir senja. Pergi mandi. Selepas itu solat Maghrib dengan ibu,”.

 

   iii.          Tema Tekstual: Merupakan bahagian pertama daripada tema yang berfungsi menggabungkan dua klausa. Ini membolehkan penulis mempersembahkan teks yang koherens (Halliday, 1994; North, 2005). Tema ini mempunyai tiga subentri iaitu:

 

Penanda wacana (struktural): Perkataan yang digunakan bagi menghubungkan teks dan menunjukkan hubungan semantik serta menjadikan ayat itu gramatis (Halliday, 1994).

Oleh sebab itu, kita haruslah menjaga kesihatan badan agar tidak mendapat penyakit yang berbahaya.

Kata hubung (conjunct-adjunct): Berfungsi menghubungkan klausa sebelum dan klausa yang lain (McCabe, 1999)

Aniq tetap menyayangi kawannya walaupun kawannya itu sentiasa membulinya.

Penambah (Continuative): Perkataan yang berfungsi dalam teks secara berterusan. Menurut Halliday (1994), penambah merujuk kepada kata-kata yang menjadi permulaan dalam ucapan dan lebih banyak digunakan dalam percakapan berbanding penulisan.

Ya, saya setuju.

 

Teori Atqakum

Teori Atqakum merupakan idea daripada Sanat Md. Nasir yang telah menyatakan bahawa tatabahasa yang kukuh haruslah memperlihatkan hubungan makhluk dengan khaliqnya. Teori ini mengambil kira persoalan kalbu, roh dan nafs yang terangkum dalam diri pengguna bahasa Melayu. Teori Atqakum mempunyai makna yang khusus iaitu merujuk kepada makna bertakwa. Teori ini menitikberatkan supaya penutur dan pendengar bahasa itu menjadi insan yang paling bertakwa di sisi Allah SWT. Dalam sesebuah komunikasi, maklumat yang disampaikan itu haruslah jelas dan bersifat komunikatif (liyubayyina) yang sebaik mungkin dalam menggunakan bahasa pendengar. Bahasa juga berfungsi sebagai tekstual, iaitu menajdi ayat (tanda) yang merujuk kepada kebesaran Allah bagi yang mengetahuinya.

            Teori Atqakum mempunyai konsep “alamma” yang memerlukan bahasa itu berfungsi untuk mengajarkan, iaitu oleh Allah kepada manusia. Teori ini mempunyai unit tatabahasanya, iaitu konsep yang lebih menyeluruh “Wacana Plus Plus”. Wacana Plus Plus merupakan unit tatabahasa yang terbesar kerana mencakupi perkara-perkara ghaib.

 

Rujukan:

Aefiqah Gitin. (2018). Analisis aspek kohesi dan koheren dalam cerpen komponen sastera       berdasarkan model Fairclough. (Tesis Sarjana). Diperoleh daripada https://ir.upsi.edu.my/files/docs/2020/4734_4734.pdf

Norfaizah Abdul Jobar, Anida Sarudin dan Idris Md. Radzi. (2016). Analisis Metafungsi    Bahasa Dalam Penulisan Karangan. Jurnal Bahasa. 16(2). Bahasa Tanjong Malim.             Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zambri Salleh & Abdull Sukor Shaari. (2009). Kesan Model Unsur Tautan terhadap Pengajaran   Karangan Bahasa Melayu. MJLI, 6, 55-78. Diperolehi daripada https://repo.uum.edu.my/id/eprint/200/1/Abdull_Sukor_Shaari.pdf.

Blog BML3092: Analisis Wacana. (2016). Diperolehi daripada http://tautan-ilmuwacana-             kb3.blogspot.com/p/blog-page_27.html.

Fauzan, U. (2013). Analisis wacana kritis model Fairclough. Jurnal Pendidik, 5(2), 1-10. doi: https://www.researchgate.net/publication/351118810_Analisis_Wacana_Kritis_Model            _Fairclough.

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob.             (2012).             Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publication.

Shazana Ayuni Ahmad Jailani, Christie Shayun Damon, Nurul Nadzirah Jasni & Norazura    Yazid. (2016). Analisis wacana. Diperoleh daripada http://analisiswacana2016.blogspot.com/2016/05/teori-dan-model-wacana.html.