Selasa, 27 Disember 2022

KONSEP WACANA

Perkataan wacana berasal daripada kosa kata Jawa, iaitu wocono. Wocono merupakan perkataan daripada woco yang bermaksud baca. Manakala bagi bahasa Inggeris, istilah wacana merupakan padanan dengan istilah discourse dan discours dalam bahasa Perancis yang bermaksud “larian ke dan lari” (dari satu ke satu klimaks seperti plot cerita) serta dalam bahasa Arab dipanggil al-makalah. Takrifan wacana mempunyai banyak pengertiannya yang telah diberikan oleh beberapa ahli dalam bidang wacana iaitu:

·       Crystal (1992) mendefinisikan wacana sebagai regangan bahasa yang berkesinambungan terutama dalam bahasa lisan yang lebih besar daripada ayat dan lazimnya akan membentuk satu unit yang berkesatuan seperti hujah atau cerita.

·       Salkie (1995) mendefinisikan wacana sebagai regangan bahasa yang mungkin lebih daripada satu ayat.

·       Johnstone (2002) mendefinisikan wacana sebagai contoh-contoh sebenar komunikasi dalam wadah bahasa.

·       Asmah Haji Omar (1980) mendefinisikan wacana sebagai unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, siri buku yang akan memperlihatkan kesatuan dan hubungan antara butir-butir fikiran serta perkembangan akaliah yang terdapat di dalamnya.

Umumnya, wacana merupakan satu satuan bahasa yang lengkap dan benar-benar digunakan untuk komunikasi dan mempunyai maksudnya. Konsep wacana melibatkan dua aspek yang penting iaitu proses dan kognitif. Proses wacana melibatkan kognitif iaitu akal fikiran seseorang individu itu semasa menghasilkan sesuatu wacana. Proses kognitif ini berlaku melalui otak yang akan menghasilkan maklumat dan akan dianalisis untuk dihasilkan dalam bentuk lisan iaitu melalui percakapan ataupun secara teks iaitu tulisan.


Tatatingkat unit tatabahasa Melayu



Wacana

Satuan bahasa yang paling lengkap, terbesar dan tertinggi dengan koheren dan kohesi yang berkesinambungan serta mempunyai permulaan dan pengakhiran yang nyata dan boleh disampaikan secara lisan atau tulisan. Bahan wacana akan ditandai dengan penanda wacana.

Ayat

Unit pengucapan yang paling tinggi dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.

Klausa

Unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat serta menjadi konstituen (unsur) ayat.

Frasa

Unit yang terdiri daripada satu susunan yang sekurang-kurangnya mengandungi satu atau dua perkaatan yang berpotensi untuk diperluaskan.

Kata

Bentuk bebas terkecil yang mempunyai makna yang lengkap dan dapat berdiri sendiri dalam ayat.

Morfem

Unit terkecil dalam bahasa yang membawa makna atau tugas tatabahasa

Fonem

Unit yang terkecil dalam tatabahasa dan dapat dipisahkan daripada rangkaian bunyi.

 

Rujukan:

Arif Bahasa. (2012). Tatatingkat unit bahasa. Diperoleh daripada http://arifbahasamelayu.blogspot.com/2012/07/tatatingkat-unit-bahasa.html

Idris Aman. (2010). Analisis wacana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan