Isnin, 26 Disember 2022

CIRI-CIRI WACANA

  KOHESI (TAUTAN)

Tautan memberi maksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur lingusitik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Tautan atau kohesi ini juga merupakan kesepaduan dalam penulisan. Di mana keserasian hubungan ini dapat dilihat berdasarkan hubungan antara suatu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat yang lain dalam wacana yang sama. Melalui tautan ini ianya sangat penting kerana ia dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan teks yang sehingga membentuk suatu kesatuan.

Menurut Halliday dan Hassan, tautan adalah sebagai ciri-ciri linguistik yang membantu menghubungkan satu tautan ayat sehingga melahirkan suatu teks yang padu. Tautan dapat dipecahkan kepada dua sudut, iaitu tautan nahuan dan tautan leksikal. Di mana kedua-dua nahuan ini wujud dalam kesatuan teks.

Berikut merupakan contoh ayat yang mempunyai tautan dan merupakan wacana:

Ayat 1: Aina, Farisya dan Fauzan pergi ke Kampung Selamat.

Ayat 2: Mereka ke sana untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan lama mereka.

Berdasarkan contoh yang diberikan, terdapat aspek tautan dalam ayat yang diberikan. Pekataan ‘mereka’ dalam ayat kedua merujuk kepada Aina, Farisya dan Fauzan. Selain itu, bagi perkataan ‘sana’ merujuk kepada ‘Kampung Selamat’

 

2.     KOHEREN (RUNTUTAN)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), koheren membawa maksud berhubungan, bersangkut paut atau kata lainnya ialah mempunyai kesinambungan (keterikatan) antara satu ayat dengan ayat yang lain (dalam sesebuah wacana) supaya mudah difahami. Koheren juga dapat dikenali sebagai runtutan. Justeru itu, koheren atau runtutan ini merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna.

Berikut merupakan contoh ayat yang mempunyai koheren:

 

Autisme (ASD) merupakan gangguan perkembangan neurologi, yang bermaksud memberi kesan kepada perkembangan otak dan berlaku pada usia awal seseorang. Kecacatan perkembangan tegal ini memberi kesan kepada kemampuan anak untuk berkomunikasi, bersosial dan belajar seperti anak tipikal.

Melalui contoh yang diberikan, kesinambungan idea dapat dilihat melalui perkataan autisme, gangguan perkembangan neurologi dan kecacatan perkembangan tegal

 

3.     TUJUAN

Tujuan bagi sesuatu wacana adalah ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada penulis atau pembicaranya. Bagi sesuatu wacana ianya perlu mempunyai tujuan bagi menimbulkan interaksi yang komunikatif. Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan pasti ianya mempunyai tujuan. Melalui tujuan ini, jenis wacana yang digunakan akan dapat dikenalpasti. Terdapat cara bagi menentukan tujuan seseorang penulis itu iaitu:

 

                           i.          Menentukan Tujuan Melalui Ayat

a)     Ayat tanya

Ayat tanya merupakan peranan yang penting dalam mengenalpasti tujuan terhadap sesuatu ujaran atau tulisan. Menurut Ahmad Khair Mohd Nor (2017), ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu. Dalam tulisan, ayat tanya diakhiri oleh tanda tanya (?) manakala dalam lisan, ayat tanya diucapkan dengan nada suara yang meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Terdapat dua jenis ayat tanya iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup. Di mana kedua-dua jenis ayat ini akan menghasilkan tujuan tertentu. Jika pertanyaan merupakan ayat tanya terbuka maka jawapan yang diberikan adalah bersifat pelbagai. Manakala bagi ayat tanya tertutup pula jawapanya terdiri daripada ‘ya’ atau ‘tidak’.

 

b)    Ayat Perintah

Ayat perintah merupakan ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.  Ayat perintah ini ditujukan kepada orang kedua atau kata ganti nama diri orang kedua. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada lima jenis iaitu ayat yang bertujuan untuk menyampaikan permintaan, suruhan, silaan, larangan dan ajakan.

c)     Ayat seruan

Ayat seruan digunakan untuk melahirkan sesuatu perasaan. Di mana perasaan itu adalah seperi rasa kagum, marah, sakit, hairan dan sebagainya.

 

                         ii.          Menentukan Tujuan Melalui Pemerihalan Teks

 

a)     Runtutan

Penulis atau penutur akan menggunakan rentetan untuk tujuan memerikan teks atau peristiwa secara berurutan. Bagi teks yang berurutan ianya akan dibaca atau didengar mengikut rentetan. Jadi semakin pembaca atau mendengar membaca atau mendengar, tujuan teks tersebut ditulis atau diujar akan lebih mudah difahami.

b)    Tautan

Tautan ini digunakan bagi mewujudkan pertalian antara teks. Ianya boleh dilihat melalui pengulangan, sinonim, antonim, ekuivalensi, penghubung, elipsis, substitusi dan kata ganti. Apabila berlaku aspek-aspek tautan di atas, tujuan terhadap sesuatu teks itu diujarkan atau ditulis akan semakin jelas.

 

4.     PENERIMAAN

Sesuatu wacana sama ada tulisan atau lisan ianya memerlukan dua pihak iaitu pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca inilah merupakan penerima sesuatu wacana. Penerimaan meupakan pemahaman pendengar atau penutur terhadap teks yang diujar atau ditulis. Hal ini sangat berkait rapat dengan aspek tujuan disebabkan oleh kefahaman yang tinggi tentang tujuan sesuatu teks akan menyebabkan tahap penerimaan terhadap teks tersebut turut meningkat. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Kefahaman sesuatu wacana itu bergantung kepada pembaca atau pendengar yang menentukannya.

Berikut merupakan tahap penerimaan dalam wacana:

                           i.          Tahap Penerimaan

Tahap penerimaan bagi sesebuah teks adalah bergantung kepada pemahaman teks. Teks yang dibaca atau didengar hendaklah dibaca secara berurutan. Tahap penerimaan yang tinggi lazimnya tahap pemahamannya juga tinggi. Manakala bagi tahap penerimaan yang rendah pula ianya dilihat apabila pembaca atau pendengar tidak memahami teks yang dibaca atau yang diujarkan tersebut. Jika ayat atau teks tersebut tidak dapat difahami maka ayat itu tidak dikategorikan sebagai sebuah wacana. Hal ini disebabkan wacana yang tidak berurutan sukar untuk difahami. Jadi, apabila perkara ini berlaku, tahap penerimaan pembaca dan pendengar adalah rendah.

 

                         ii.          Tahap Kebolehbacaan

Tahap kebolehbacaan adalah tahap yang melibatkan aspek proses membaca iaitu kefahaman dan kefasihan. Hal ini dikatakan demikian kerana pemahaman bukanlah sekadar dikaitkan dengan makna-makna yang terdapat dalam tulisan bercetak, tetapi ia juga bergantung kepada kelancaran, kefasihan, tarikan dan minat terhadap bahan yang dibaca. Perkara ini penting agar pembaca atau pendengar dapat memahami sesebuah wacana atau teks yang disampaikan oleh penutur atau penulis. Jadi, aspek kebolehbacaan seseorang pembaca dalam tahap penerimaan sangat penting agar dapat membaca sesebuah wacana dengan baik dan dapat memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan.

 

5.     MAKLUMAT

Setiap atau sesebuah wacana mempunyai maklumat yang ingin disampaikan. Di mana maklumat terdiri daripada dua jenis iaitu maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama merupakan maklumat yang telah dinyatakan terdahulu manakala maklumat baharu pula merupakan maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.

Berikut merupakan contoh maklumat lama dan maklumat baharu:

Firdaus memandu kereta berwarna kelabu itu. -Maklumat Lama

Kereta itu kepunyaan ayahnya.Maklumat Baharu.

 

6.     KEADAAN

Keadaan ialah latar sewaktu bahasa tersebut digunakan dan ia membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “Sila masuk”, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Sesuatu wacana yang diujarkan itu perlulah sesuai dengan keaadan. Jadi, bagi menjadikan sesuatu wacana itu sesuai dengan keadaan, pemilihan kata, frasa atau ayat adalah penting.

 

7.     INTERTEKS

Interteks memberi maksud wacana yang bergantung kepada wacana yang lain. Di mana wacana-wacana lain itu memainkan peranan penting bagi membantu seseorang itu memahami wacana dengan mudah. Apa yang boleh dikatakan, kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana bergantung kepada pengetahuannya terhadap perkara yang sedang dibaca atau didengarnya itu. 

 

 

RUJUKAN

Ahmad Khair Mohd Nor. (2017). Teks Lengkap Tatabahasa Bahasa Melayu STPM. Selangor:         Pustaka Salam Sdn. Bhd

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob. (2012).                        Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publication.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan