Ahad, 25 Disember 2022

TUJUAN DAN PENERIMAAN

TUJUAN

Tujuan bagi sesuatu wacana adalah ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada penulis atau pembicaranya. Bagi sesuatu wacana ianya perlu mempunyai tujuan bagi menimbulkan interaksi yang komunikatif. Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan pasti ianya mempunyai tujuan. Melalui tujuan ini, jenis wacana yang digunakan akan dapat dikenalpasti. Terdapat cara bagi menentukan tujuan seseorang penulis itu iaitu:

                           i.          Menentukan Tujuan Melalui Ayat 

a)     Ayat tanya

Ayat tanya merupakan peranan yang penting dalam mengenalpasti tujuan terhadap sesuatu ujaran atau tulisan. Menurut Ahmad Khair Mohd Nor (2017), ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu. Dalam tulisan, ayat tanya diakhiri oleh tanda tanya (?) manakala dalam lisan, ayat tanya diucapkan dengan nada suara yang meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Terdapat dua jenis ayat tanya iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup. Di mana kedua-dua jenis ayat ini akan menghasilkan tujuan tertentu. Jika pertanyaan merupakan ayat tanya terbuka maka jawapan yang diberikan adalah bersifat pelbagai. Manakala bagi ayat tanya tertutup pula jawapanya terdiri daripada ‘ya’ atau ‘tidak’.

b)    Ayat Perintah

Ayat perintah merupakan ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.  Ayat perintah ini ditujukan kepada orang kedua atau kata ganti nama diri orang kedua. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada lima jenis iaitu ayat yang bertujuan untuk menyampaikan permintaan, suruhan, silaan, larangan dan ajakan.

c)     Ayat seruan

Ayat seruan digunakan untuk melahirkan sesuatu perasaan. Di mana perasaan itu adalah seperi rasa kagum, marah, sakit, hairan dan sebagainya.

                         ii.          Menentukan Tujuan Melalui Pemerihalan Teks

a)     Runtutan

Penulis atau penutur akan menggunakan rentetan untuk tujuan memerikan teks atau peristiwa secara berurutan. Bagi teks yang berurutan ianya akan dibaca atau didengar mengikut rentetan. Jadi semakin pembaca atau mendengar membaca atau mendengar, tujuan teks tersebut ditulis atau diujar akan lebih mudah difahami.

b)    Tautan

Tautan ini digunakan bagi mewujudkan pertalian antara teks. Ianya boleh dilihat melalui pengulangan, sinonim, antonim, ekuivalensi, penghubung, elipsis, substitusi dan kata ganti. Apabila berlaku aspek-aspek tautan di atas, tujuan terhadap sesuatu teks itu diujarkan atau ditulis akan semakin jelas.

2.     PENERIMAAN

Sesuatu wacana sama ada tulisan atau lisan ianya memerlukan dua pihak iaitu pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca inilah merupakan penerima sesuatu wacana. Penerimaan meupakan pemahaman pendengar atau penutur terhadap teks yang diujar atau ditulis. Hal ini sangat berkait rapat dengan aspek tujuan disebabkan oleh kefahaman yang tinggi tentang tujuan sesuatu teks akan menyebabkan tahap penerimaan terhadap teks tersebut turut meningkat. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Kefahaman sesuatu wacana itu bergantung kepada pembaca atau pendengar yang menentukannya.

Berikut merupakan tahap penerimaan dalam wacana:

                           i.          Tahap Penerimaan

Tahap penerimaan bagi sesebuah teks adalah bergantung kepada pemahaman teks. Teks yang dibaca atau didengar hendaklah dibaca secara berurutan. Tahap penerimaan yang tinggi lazimnya tahap pemahamannya juga tinggi. Manakala bagi tahap penerimaan yang rendah pula ianya dilihat apabila pembaca atau pendengar tidak memahami teks yang dibaca atau yang diujarkan tersebut. Jika ayat atau teks tersebut tidak dapat difahami maka ayat itu tidak dikategorikan sebagai sebuah wacana. Hal ini disebabkan wacana yang tidak berurutan sukar untuk difahami. Jadi, apabila perkara ini berlaku, tahap penerimaan pembaca dan pendengar adalah rendah.

                         ii.          Tahap Kebolehbacaan

Tahap kebolehbacaan adalah tahap yang melibatkan aspek proses membaca iaitu kefahaman dan kefasihan. Hal ini dikatakan demikian kerana pemahaman bukanlah sekadar dikaitkan dengan makna-makna yang terdapat dalam tulisan bercetak, tetapi ia juga bergantung kepada kelancaran, kefasihan, tarikan dan minat terhadap bahan yang dibaca. Perkara ini penting agar pembaca atau pendengar dapat memahami sesebuah wacana atau teks yang disampaikan oleh penutur atau penulis. Jadi, aspek kebolehbacaan seseorang pembaca dalam tahap penerimaan sangat penting agar dapat membaca sesebuah wacana dengan baik dan dapat memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan.

 

RUJUKAN

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob. (2012).             Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publication.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan