Ahad, 25 Disember 2022

MODEL TAUTAN

Tautan membawa makna keserasian hubungan antara satu unsure linguistik dengan unsure linguistik yang lain dalam penghasilan sebuah bentuk wacana yang lengkap. Selain itu, tautan juga boleh membawa maksud kesepaduan dalam sebuah penulisan. Kesepaduan hubungan ini boleh terlihat dalam hubungan antara perkataan, frasa, atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat yang lain dalam wacana yang sama. Jika berlaku tautan dalam sebuah wacana, maka akan terbentuk satu kesinambungan ayat antara teks sehingga membentuk kesatuan (Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob, 2012).

Analisis teks atau wacana dipengaruhi oleh Halliday dan Hassan (1976) terutamanya dalam aspek kohesi dan koheran. Halliday dan Hasan menyatakan teks terbina daripada intersentential linguistic features (ciri-ciri yang membina teks) dan menamakannya sebagai cohesive ties. Menurut mereka lagi tautan terbahagi kepada lima jenis iaitu rujukan, penggantian, elipsis, penghubung, dan tautan leksikal. Sanat Md. Nasir telah menggunakan perkataan pindaan dalam Model Tautan Pindaan Sanat Md. Nasir (2002) yang membawa maksud model asalnya daripada Halliday dan Hasssan (1976). Model ini telah mengalami penyusunan semula, tambahan dan penekanan aspek tertentu dalam kajian tautan aliran sistematik. Melalui model Sanat Md. Nasir ini beliau membahagikan tautan kepada tiga jenis utama iaitu tautan perulangan, tautan kolokasi dan tautan penghubung ayat. Berikut merupakan tautan utama dengan pembahagian subjenis tautan masing-masing (Zambri Salleh dan Abdull Sukor Shaari, 2009).

 

Jenis Tautan Utama

Subjenis Tautan

Tautan Perulangan

·        Tautan Perulangan Rujukan

·        Tautan Perulangan Penggantian

·        Tautan Perulangan Elipsis

·        Tautan Perulangan Leksikal

·        Tautan Perulangan Parafrasa

·        Tautan Perulangan Paralelisme

·        Tautan Perulangan Struktur dan Makna Sama

 

Tautan Kolokasi

·        Tautan Kolokasi Antoniman

·        Tautan Kolokasi Kohiponiman

·        Tautan Kolokasi Hasil

·        Tautan Kolokasi Sifat

 

Tautan Penghubung Ayat

·        Tautan Penghubung Ayat Tambahan

·        Tautan Penghubung Ayat Tentangan

·        Tautan Penghubung Ayat Sebab-Musabab

·        Tautan Penghubung Ayat Waktu

·        Tautan Penghubung Ayat Terusan

 

Model Tautan Pindaan Sanat Md Nasir (2002)

 

 

RUNTUTAN

Runtutan juga boleh dimaksudkan dengan koheran. Runtutan diistilahkan sebagai perantaraan gagasan idea yang menunjukkan sesuatu fikiran terjalin dalam sebuah cerita atau peristiwa untuk membentuk sebuah teks. Sebuah cerita yang dikarang mempunyai makna yang ingin disampaikan. Ujaran yang hadir dalam teks akan membawa makna untuk menyampaikan pengetahuan sebenar. Secara keseluruhannya, runtutan boleh diistilahkan sebagai sebuah gagasan idea yang terbentuk bagi menyampaikan sesuatu idea yang mengandungi makna.

F.J D’ Angelo membahagikan runtutan kepada:

 

         i.            Aditif atau penambahan

 

Aditif atau penambahan bermaksud memberi maklumat tambah terhadap perkara yang telah diberitahu dalam ayat sebelumnya.

 

Contoh: Anis seorang murid yang bijak dalam semua mata pelajaran. Tambahan pula, dia seorang yang mempunyai budi pekerti yang tinggi.

 

Perkataan “tambahan pula dalam ayat menunjukkan berlakunya penambahan maklumat dalam ayat tersebut.

       ii.            Rentetan

 

Rentetan bermaksud penanda bagi memperkatakan sesuatu perkara secara berurutan. Rentetan ini digunakan untuk memberi penjelasan mengenai situasi atau proses yang berlaku.

     iii.            Pengulangan

 

Pengulangan merupakan perkara yang sering digunakan untuk dijadikan sebagai penegasan sesuatu maklumat yang diperkatakan dalam wacana. Pengulangan ayat atau perkataan ini membolehkan pembaca jelas dengan perkara yang dibaca dan perkara yang ingin dijelaskan.

      iv.            Penekanan

 

Penekanan biasanya menggunakan ayat atau perkataan yang menandakan penegasan terhadap sesuatu perkara. Contoh perkataan yang membawa erti penekanan ialah memang, sungguh, juga, sesungguhya dan lain-lain kata penegas.

       v.            Pertentangan

 

Pertentangan digunakan untuk mewujudkan penambahan kesan koheran dalam sesuatu teks. Pertentangan ini terjadi hasil kewujudan dua gagasan idea yang mempunyai percanggahan. Pembelajaran berpusatkan murid sangat berkesan untuk digunakan oleh pendidik tetapi masih ramai pendidik yang menggunakan kaedah pembelajaran berpusatkan guru.

      vi.            Parallel

 

Parallel atau kesejajaran merujuk kesamaan struktur dalam pasangan kata, frasa atau klausa yang berhubungan. Waktu pencuri masuk saya sedang bermain telefon. Saya juga sedang berbaring atas katil sehingga saya tidak menyedari kehadiran pencuri.

 

 

 

Harimurti Kridalaksana mengasingkan runtutan kepada:

Ø  Alasan dan akibat

Ø  Sebab dan akibat

Ø  Hasil kegagalan

Ø  Perbandingan

Ø  Aditif temporal

Ø  Ibarat

 

Rujukan:

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul dan Adenan Ayob. (2012). Tatabahasa           Wacana. Tanjong Malim: Emiretus Publication.

Zambri Salleh dan Abdull Sukor Shaari (2009). Kesan model unsur tautan terhadap pengajaran                     karangan Bahasa Melayu. Malaysian Journal of Learning and Instruction (MJLI), vol. 6, 55-78.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan